twitter
rss

Refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu :

Murid-murid sudah boleh menulis tetapi ada sebilangan kecil daripada mereka yang masih belum menguasai kemahiran menulis sepenuhnya ( lambat menulis suatu perkataan seperti nama atau tarikh ). Malah, mereka sengaja melengah-lengahkan masa semasa menyalin huruf atau perkataan di papan tulis. Walaupun tugasan tulisan tersebut tidak terlalu banyak, tetapi mereka juga tidak dapat menyiapkan tugasan tersebut mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan oleh guru. Keadaan ini menyebabkan murid-murid tersebut terbeban dengan kerja rumah yang tertangguh dan jauh ketinggalan dengan rakan-rakan yang lain.

Tindakan yang perlu dilakukan :

Guru perlu memberi perhatian dan bimbingan semasa murid-murid berkenaan melaksanakan tugasan guru. Pujian dan sokongan harus diberikan kepada mereka sekiranya mereka berjaya menyiapkan tugasan tersebut. Kurangkan hukuman negatif sekiranya mereka masih mengamalkan sikap malas semasa melaksanakan tugasan guru. Sebaliknya, banyakkan hukuman positif andainya mereka berusaha menyiapkan tugasan guru. Misalnya, walaupun lambat tetapi mereka berjaya juga menyiapkan tugasan guru, guru boleh membenarkan mereka bermain permainan yang digemari seperti bermain lego.  

Refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu :

Semasa guru mengajar tajuk pengajaran ini, murid-murid dari kumpulan 3 dan 4 tidak mengambil perhatian langsung. Sebaliknya mereka berbual-bual sesama ahli kumpulan dan kadang-kala menganggu rakan-rakan dari kumpulan 1 dan 2. Mereka juga kurang berminat dengan dalam pembelajaran. Tugasan guru juga tidak dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

Kelemahan saya :

Bimbingan dan perhatian khusus kurang diberikan kepada murid-murid tersebut kerana guru lebih banyak memberi perhatian dan pujian kepada murid-murid yang baik dalam pembelajaran sahaja iaitu murid-murid dari kumpulan 1 dan 2. Keadaan ini menyebabkan murid-murid dari kumpulan 3 dan 4 tiada keyakinan diri dan berasa dipinggirkan. Dan, meningkatkan lagi tahap ketidakminatan mereka terhadap tajuk pengajaran yang disampaikan.

Tindakan yang perlu dilakukan :

Guru harus bersemangat dan sabar semasa mendidik murid-murid yang lemah dalam pembelajaran. Latihan dan bacaan yang banyak, usaha, dorongan dan bimbingan yang  berterusan boleh membantu murid-murid tersebut memperbaiki penguasaan mereka terhadap perkataan KVKVV.

Refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu ;

Terdapat sesetengah murid-murid saya masih belum menguasai kemahiran menyebut perkataan yang bersuku kata terbuka atau suku kata tertutup. Kegagalan murid-murid menguasai kemahiran menyebut suku kata terbuka dan tertutup ini mencacatkan sebutan dan kelancaran bacaan seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat membaca dengan lancar. Keadaan ini menyebabkan murid-murid tersebut tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dengan sepenuhnya.

Kelemahan saya :

Guru kurang memberi tumpuan dan galakkan kepada golongan murid-murid yang lemah dan pasif semasa aktviti pengajaran sedang berlaku. Justeru, murid-murid tersebut hanya mendiamkan diri apabila disoal oleh guru. Malah, mereka juga tidak berminat mengikuti sesi pembelajaran sebaliknya mereka berbual-bual sesama ahli kumpulan dan ada yang termenung jauh.

Tindakan yang perlu dilakukan :

Guru hendaklah memberi tumpuan, bimbingan, galakkan dan pujian kepada setiap murid semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan. Tumpuan dan bimbingan khusus perlu diberikan kepada golongan murid yang lemah dalam pembelajaran dan peneguhan positif boleh meningkatkan semangat ingin belajar di kalangan murid-murid.



Refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu :

Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi kelas prasekolah. 17 orang daripada 25 orang murid-murid prasekolah kurang berminat dan kurang memahami penggunaan tanda baca dalam ayat tunggal. Pengajaran dan pembelajaran melalui paparan CD courseware dan teori daripada buku teks sahaja kurang berkesan. Bagi memahamkan mereka tentang konsep penggunaan tanda baca, saya mengajar dan memberi contoh yang sesuai.

Kelemahan :

Kesan daripada kelemahan ini,   terlintas di dalam fikiran saya untuk menggunakan  “ Teknik Warna “ . Murid-murid diminta membaca ayat mudah yang lengkap dengan penggunaan huruf besar. Mereka akan mengecam penggunaan huruf besar pada ayat tersebut dan seterusnya menyalin semula ayat tersebut dengan menggunakan huruf besar di tempat yang sesuai menggunakan warna. 

Tindakan yang dijalankan :

Langkah pertama yang saya jalankan ialah memberi motivasi kepada murid terbabit. Kemudian, tindakan seterusnya ialah :
  • Membaca ayat tunggal atau ayat majmuk yang mudah dengan penggunaan huruf besar yang betul melalui edaran kad .
  • Mengecam penggunaan huruf besar pada ayat tersebut.
  • Memulakan setiap tulisan dengan warna
  • Latih tubi
      ii    Bahan-bahan yang digunakan ialah
            a.         Kad ayat tunggal atau ayat majmuk
             b.        Set Soalan / lembaran kerja / buku latihan
             c.        Pensel warna

CADANGAN UNTUK SETERUSNYA :

Saya mendapati kajian kesilapan penggunaan huruf besar ini perlu diteruskan untuk semua kelas kerana dengan ini kita dapat mengajar sistem tanda baca dengan cara yang betul dan sistematik.

Kesemua aktiviti yang dijalankan banyak membantu menjayakan kajian tindakan yang saya jalankan ke atas murid-murid berkenaan. Saya bercadang untuk meneruskan program ini dengan meningkatkan penguasaan murid-murid berkenaan dalam penggunaan tanda baca ( koma dan noktah ). Secara tidak langsung, cara ini boleh menjadikan guru sentiasa membuat refleksi ke atas amalan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Hal ini kerana kebanyakan aktiviti yang dijalankan adalah berpusat kepada murid-murid. Guru mesti sentiasa kreatif dan inovatif dalam mengintergrasikan pelbagai kaedah dan teknik mengajar terkini.


Aktiviti : Mengecam dan mengenal huruf besar dan kecil.

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu :

Semasa saya mengajar mengenal dan menyebut huruf , sesetengah murid-murid prasekolah kelihatan seperti sukar untuk memahaminya. Ini dapat dilihat melalui sesi soal jawab antara guru dengan murid-murid prasekolah. Murid-murid hanya mendiamkan diri apabila disoal. Lembaran kerja yang saya berikan juga tidak dibuat. Ini membuktikan bahawa terdapat murid-murid prasekolah yang masih belum mengenal huruf terutamanya huruf kecil.

Adakah saya perlu mengajar semula mengenai tajuk ini? Adakah cara saya mengajar sebelum ini tidak membantu murid-murid prasekolah? Apakah cara yang paling berkesan bagi memahamkan kanak-kanak prasekolah? Adakah saya mampu untuk membantu murid-murid saya ini? Perlukah saya meminta bantuan daripada guru-guru lain? Apakah tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah ini?

Saya cuba mengajar tajuk ini sekali lagi tetapi masih terdapat beberapa orang murid-murid yang lemah. Saya berpendapat, murid-murid tersebut memang lemah dan tidak seperti murid-murid prasekolah yang lain. Ia juga mungkin disebabkan oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang membosankan seterusnya gagal menarik minat murid-murid untuk belajar.

Kelemahan :

Kesilapan yang sering dilakukan oleh murid-murid prasekolah ialah mereka keliru dengan huruf ‘b’ dan ‘d’ begitu juga dengan huruf ‘p’ dan ‘q’.

Sekiranya saya berusaha membantu murid-murid saya ini, saya yakin mereka pasti akan memahami dan menguasainya. Saya akan berusaha mewujudkan interaksi yang boleh menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hal ini akan menjadikan kerja pengajaran saya dan aktiviti pembelajaran murid lebih menarik dan menyeronokkan.

Tindakan Yang Dijalankan :

1.   Sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran dimulakan, saya telah meminta murid-murid untuk menyebut setiap huruf yang saya tunjukkan. Murid-murid tersebut menyebut huruf itu secara beramai-ramai. Selepas itu, saya memilih murid secara rawak untuk menyebut huruf yang saya tunjukkan.
2.      Murid-murid akan bermain permainan mencari pasangan setiap huruf yang diberikan oleh guru secara berkumpulan.Aktiviti seperti ini akan dapat meningkatkan lagi minat murid-murid terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.Selain itu, aktiviti ini juga akan dapat memberi peluang kepada murid untuk mencari  pasangan  setiap huruf  tersebut melalui bantuan kawan-kawannya  seterusnya dapat mengenal huruf itu. Setiap kumpulan akan berusaha untuk menjadi pemenang dalam permainan ini. Di akhir permainan, kumpulan yang terbaik akan mendapat ganjaran.
3.        Murid-murid ini juga diberikan latihan. Mereka dikehendaki untuk memadankan huruf besar dan huruf kecil. Dengan adanya latihan seperti ini, murid-murid yang lemah akan dapat dikenal pasti seterusnya akan memudahkan guru untuk memberi bimbingan yang berterusan sehingga murid-murid tersebut menguasainya.